Thursday 1 August 2013

Ayuh Memaksimumkan 10 malam terakhir Ramadhan..

  Sayu hati tatkala mengenangkan masa yang berlalu dengan begitu pantas. Jam dinding tetap berputar pada bulatan paksinya, masa pun berlalu dan akan terus berlalu...Bagaimana dengan kita? sedar atau tidak? rugi atau tidak? tepuk dada sendiri, tanya iman sendiri dan sudah pasti sendiri punya jawapan yang tersendiri...



Bak kata pepatah arab : " Masa ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, maka ia akan memotong kamu "..Oleh itu, di sepuluh ramadhan yang terakhir bagi tahun ini (inshaaAllah..) ayuh kita sama-sama memaksimumkan, melipat gandakan amalan-amalan kita. Moga-moga diterima-Nya...(Aminnn..)

Terdapat beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat pada malam-malam akhir ramadhan, menghidupkan lailatul Qadar antaranya:



1) Mandi (membersihkan diri), berpakaian indah, berharum haruman.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu.  Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam-malam akhir Ramadan.

Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi’in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan

2) Melaksanakan solat sunat, beriktikaf, dan memperbanyakkan bacaan Al-Quran.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aishah, bermaksud:

“Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya.

Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi, mereka bersepakat bahawa Rasulullah melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.

3.  Bersolat Tarawikh dan Witir

Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud:

“Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai. ” Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadhan dan membaca al-Quran dengan tertib.

4.  Solat Berjemaah
Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata:

“Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu.”
Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.

5.  Beriktiqaf di Masjid

Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasulullah SAW dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud:

”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat.”

6. Memperbanyak Berdoa Kepada Allah SWT
Rasulullah bersabda doa adalah otak segala ibadat.  Doa juga kunci daripada semua ibadat.  Aishah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadhan. Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.

Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah.

Pada malam itu, Allah SWT akan mengabulkan semua permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia.  Siapakah 4 golongan yang ditolak doanya?

Ibnu Abbas berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak, anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang memutuskan silaturahim.”

Oleh itu, jelaslah sudah akan perkara-perkara yang perlu kita titik beratkan dalam mengejar pahala di hari-hari terakhir Ramadhan ini. Rugi buat kita andai memandang remeh akan hal ini kerana inilah satu peluang keemasan buat kita semua… Jom…mari tingkatkan amalan kita!…


Doanya  tersebut : “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa’ fu anni (maksudnya, “Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku” (hadis riwayat al-Tirmidzi, 5:535). 


Renung-renungkan dan selamat beramal....^_^v 

No comments:

Post a Comment